KOLESTROL TINGGI
HEMPEDU ADA BATU
"APABILA penyakit itu menyerang, saya tak dapat gambarkan bagaimana sakitnya, sampai pada satu ketika saya tergolek di atas lantai. Walaupun kesakitannya hanya 10 hingga 15 minit, ia sangat 'tajam' (mencucuk-cucuk).

"Pada mulanya saya ingat puncanya tersalah makan, keracunan makanan atau gastrik. Bila ke klinik, saya diberi suntikan penahan sakit, selain ubat gastrik," kata Noorasiah Tan Abdullah, 44, yang dikesan menghidap penyakit batu hempedu.

Katanya, kesakitan di bahagian ulu hati yang dialami sejak setahun lalu pada peringkat awalnya disangka tanda gastrik, namun melalui penjagaan dan pengambilan makanan berkhasiat serta ubat-ubatan, ia tidak memberi kesan.

Malah, jika sebelum itu serangan hanya datang sekali atau dua dalam sebulan, pada akhir tahun lalu kekerapannya menyerang berlaku hampir setiap minggu.

"Penyakit ini menyerang tidak kira masa, pernah sekali saya kena pada lewat malam. Kemuncaknya baru-baru ini, ketika makan mi goreng, tiba-tiba sakit di bahagian sini (atas perut).

"Saya berpeluh, tak boleh buat apa, malah lebih mencemaskan, saya tidak boleh bernafas seperti biasa sehingga terpaksa dipapah. Disebabkan itu, saya lakukan pemeriksaan lanjut untuk mengetahui sebabnya," katanya.

Untuk mengenal pasti punca serangan berkenaan, ibu tiga anak itu menjalani pemeriksaan endoskopi, tetapi disahkan tidak menghidap gastrik seperti didakwa.

Namun, melalui pemeriksaan ultrasound pula, pakar perubatan menemui batu di dalam pundi hempedunya yang mempunyai struktur seakan tanah liat.

Seperti dipaparkan dalam rancangan Medik TV semalam, batu di dalam pundi hempedu Noorasiah perlu dikeluarkan kerana ia boleh mengakibatkan radang pundi hempedu serta berkemungkinan mendapat kanser.

Mengetahui punca yang menyebabkan dia menderita selama setahun itu, Noorasiah tidak mengambil masa panjang untuk bersetuju menjalani pembedahan membuang pundi hempedunya, apatah lagi selepas mendengar pendapat tiga doktor pakar.

Pembedahan itu dijalankan pakar bedah am dan kolorektal Hospital Pakar Johor, Dr Mohd Ismail Ali.

Katanya, punca kewujudan batu di dalam pundi hempedu disebabkan kandungan kolestrol atau pigmen yang terlalu tinggi sehingga menjadikan hempedu terlalu pekat.

"Pundi hempedu berfungsi menyimpan hempedu yang dibuat di dalam hati. Ketika makan, hempedu ini akan keluar dari pundi hempedu untuk membantu proses penghadaman makanan.

"Hempedu ini komponennya adalah kolesterol yang berlebihan daripada makanan manusia dan pigmen yang dihasilkan sel darah yang sudah pecah iaitu proses normal kepada manusia.

"Pigmen serta kolesterol ini dikeluarkan daripada badan melalui hempedu. Apabila satu atau kedua-duanya terlalu tinggi, hempedu menjadi terlalu pekat, sekali gus menyebabkan batu ini terbentuk di dalam pundi hempedu," katanya sambil menyatakan wanita Cina berusia 40 ke atas mudah mendapat penyakit itu.

Difahamkan, jika kandungan pigmen melebihi kolesterol, batu yang terhasil akan berwarna kehitaman tetapi jika sebaliknya, ia berwarna kekuningan.

Untuk mengatasi sekali gus menghilangkan kesakitan dihadapi Noorasiah, Dr Mohd Ismail berkata, pundi hempedunya terpaksa dibuang.

"Biasanya sakit hempedu dan gastrik sukar dibezakan kerana simptomnya hampir sama. Kerana itu, kebanyakan pesakit yang menghadapi masalah ini mendapat rawatan untuk gastrik seperti yang berlaku ini," katanya.

Beliau berkata, dalam kes Noorasiah, pembedahan laparoskopi dilakukan dengan cara membuat empat tebukan di bahagian perutnya.

Sebelum itu, abdomen Noorasiah dikembungkan menggunakan karbon dioksida supaya kawasan pembedahan jelas kelihatan, selain memudahkan pergerakan peralatan lain.

Melalui pembedahan dengan cara berkenaan, pesakit turut berdepan risiko luka pada saluran hempedu, namun kemungkinan berlakunya kompilasi itu hanya kira-kira satu peratus.

Dalam pembedahan itu, Dr Mohd Ismail menggunakan sejenis kamera iaitu laparoskopi berdiameter 10 milimeter yang disambung dengan lampu fiber optik. Kamera itu pula bersambung dengan lensa bagi memaparkan imej di dalam abdomen pesakit ke skrin.

Untuk memasukkan laparoskopi, satu lubang bersaiz satu sentimeter ditebuk di bawah pusat Noorasiah sementara tiga yang lain berukuran lima milimeter berfungsi melancarkan proses pembedahan tanpa mencederakan organ dalaman lain.

Bagi menjalankan pembedahan luar badan seperti itu, ia memerlukan ketelitian dan kepakaran tinggi bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Kamera yang dimasukkan ke dalam badan Noorasiah mendapati hati, usus dan pundi hempedunya diselaputi lemak.

Dr Mohd Ismail berkata, keadaan itu tidak normal dan ia mungkin disebabkan jangkitan kuman, sekali gus menunjukkan penyakit itu sudah lama berlaku.

Disebabkan itu, proses pengasingan lemak dilakukan supaya pundi hempedu yang turut melekat di hati dan usus jelas kelihatan.

Selepas selesai pengasingan itu, darah di saluran hempedu dihentikan sebelum pemotongan dijalankan.

Dalam pembedahan terbuka, prosedur itu membabitkan jahitan tetapi untuk kaedah laparoskopi, sejenis klip khas digunakan.

Pemotongan salur hempedu adalah proses paling kritikal dalam pembedahan berkenaan. Namun, ia berjaya dikeluarkan melalui pusat dalam pembedahan yang mengambil masa satu setengah jam itu.

"Pundi hempedu ini tidak normal kerana ia sudah membengkak, seolah-olah ada ketumbuhan, selain ada nanah. Bengkak ini dipanggil polip dan ia dihantar ke makmal untuk pastikan ketumbuhan ini serius iaitu barah," katanya.

Selepas menjalani pembedahan, Noorasiah kini bebas daripada kesakitan yang membelenggunya selama ini, malah dia dibenarkan meneruskan pemakanan seperti biasa.

"Saya bersyukur punca kesakitan ini dapat diatasi dan berharap menjalani kehidupan seperti lalu. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana nasib saya jika pembedahan ini tidak dijalankan," katanya.

Antara amalan pemakanan sihat bagi mengurangkan risiko batu hempedu ialah:


Kami di sini menyediakan kaedah rawatan Homeopathy dan tradisional yang telah terbukti keberhasilannya.