KEINGINAN SELERA ATAU RASA LAPAR
ADA orang merasakan perjalanan hidup hariannya kurang lengkap atau tidak puas jika tidak dapat makan makanan manis. Bagi orang begini, sebiji gula-gula pun sudah dapat memenuhi keinginan mereka. Keinginan menikmati makanan yang meluap-luap ini biasanya hanya tertumpu pada makanan tertentu sama ada manis, masin, berkarbohidrat atau berlemak dan biasanya ia diiringi rasa bersalah kerana apabila sudah dapat makanan yang diidamkan, seseorang itu terdorong untuk makan banyak.

Keinginan menikmati makanan yang diidamkan ini pula boleh berlaku pada bila-bila masa hatta di tengah malam. Jika anda terutama wanita adalah antara individu yang mengalami masalah ini, usah risau kerana anda bukan bersendirian.

Desakan keinginan untuk makan ini adalah masalah biasa di seluruh dunia. Bahkan ia turut membabitkan bahan bukan makanan kerana ada orang yang ketagih untuk mengunyah air batu! Berita baiknya, orang yang mempunyai keinginan seperti ini kebanyakannya tidak mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Kajian menunjukkan ramai orang mengalami desakan keinginan terhadap makanan berkarbohidrat kerana ia memberi kesan terhadap kimia otak dengan meningkatkan paras serotonin iaitu neurokimia yang membuat kita berasa selesa dan tenang.

Ia juga menunjukkan individu begini mengalami ketidakseimbangan neurokimia dan hormon yang merangsang otak seterusnya menimbulkan desakan keinginan berkenaan.

Menurut Pengurus Kanan Perkhidmatan Dietetik dan Makanan Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw John, masalah keinginan meluap-luap terhadap makanan ini biasanya berlaku pada wanita terutama yang sedang hamil atau sebelum haid akibat perubahan hormon.

Malah perhatian wanita juga lebih mudah tertumpu pada makanan jika menghadapi tekanan kerana ada yang beranggapan ia boleh memberikan ketenangan. Selain itu ia juga boleh didorong oleh keresahan, kekecewaan dan kesunyian. Bahkan bau makanan yang harum juga boleh merangsang keinginan.

Apa yang menakutkan ialah keinginan ini dipenuhi tanpa mengetahui batasannya sehingga boleh menyebabkan masalah lain terutama pertambahan berat badan.

Adakah desakan keinginan ini disebabkan keperluan badan (fisiologi) atau mainan psikologi? Inilah persoalan yang perlu diteliti kerana masalah ini turut berlaku di kalangan mereka yang mematuhi jadual makan.

Antara perkara penting ialah mengetahui sama ada keinginan itu datang dari keinginan selera ataupun rasa lapar. Keinginan fizikal biasanya disebabkan kurang pengambilan lemak atau gula. Inilah sebabnya ramai yang beranggapan mereka perlu minum petang (secawan teh dan sekeping kuih sudah mampu memenuhi keinginan) kerana ia boleh meningkatkan kandungan gula dalam darah.

Ia berbeza dengan ketagihan sesetengah jenis makanan seperti coklat atau kopi. Ketagihan makanan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami gejala seperti sakit kepala, insomnia, resah, emosi tidak stabil dan tekanan. Semua gejala ini akan hilang (sementara) sebaik mereka menikmati makanan atau minuman tertentu.

"Persoalan mengenai keinginan melampau terhadap makanan ini masih belum difahami sepenuhnya kerana ada orang yang boleh terangsang hanya dengan mendengar rakan bercerita mengenai makanan. Ia adalah perkara biasa dan tidak perlu bimbang selagi tidak menimbulkan masalah.

"Antara masalah yang boleh timbul ialah pertambahan berat badan atau menyebabkan tabiat pemakanan tidak sihat terutama jika seseorang itu tidak mempelbagaikan makanannya dan hanya tertumpu pada makanan kegemaran saja kerana ia boleh mendorong kepada fenomena kekurangan zat walaupun secara zahirnya dia 'cukup makan'," katanya.

Untuk menangani masalah ini, Easaw menasihatkan supaya:

Selain itu panduan di bawah mungkin boleh membantu: