GUGUR RAMBUT AWAL

GAYA rambut lelaki sekarang sama hebat dengan wanita. Malah, ada lelaki sanggup memperuntukkan belanja tinggi untuk penjagaan dan dandanan rambut melebihi wanita.

Pun begitu, ada juga lelaki yang lebih selesa dengan imej botak, tetapi jumlahnya tidak ramai. Ramai mahukan rambut lebat dan sihat, walaupun tidak mengikuti fesyen rambut terkini.

Bagi kebanyakan orang, rambut lebat dan sihat adalah harta berharga. Selain memperbaiki imej, rambut boleh meningkatkan keyakinan diri dan memberi gambaran positif apabila berdepan orang lain.

Namun tidak semua orang berpeluang memiliki 'harta' berharga ini. Ramai orang, sama ada lelaki atau wanita, termasuk golongan berusia awal 20-an, mula mengalami masalah keguguran rambut yang teruk sehingga menampakkan kulit kepala.

Kajian pada 2003 ke atas 1,300 responden mendapati, kira-kira 70 peratus penduduk Asia menghadapi masalah keguguran rambut dan 60 peratus daripada mereka mula kehilangan rambut sebelum berumur 25 tahun. Ini bermakna masalah keguguran rambut bermula pada umur lebih muda.

Perunding Trikologi (pakar penjagaan rambut dan kulit kepala), Chris Wainwright, berkata biasanya masalah keguguran rambut dan menjadi botak dialami golongan berumur 30 hingga 40 tahun.

Dulu masalah ini lebih ketara di kalangan lelaki, tetapi kini jumlah wanita yang turut mengalaminya semakin meningkat kepada 50 peratus berbanding hanya 10 peratus pada empat atau lima tahun lalu.

Katanya, tanpa mengira jantina, masalah keguguran rambut dan menjadi botak memberi banyak kesan negatif terhadap kualiti kehidupan seseorang.

"Berdasarkan soal selidik penilaian diri anjuran Svenson Hair Center ke atas 981 penduduk negara ini (563 lelaki dan 418 perempuan) berumur di antara 20 hingga 40 tahun mendapati 72.7 peratus memberitahu, kualiti hidup mereka akan meningkat jika memiliki rambut lebat dan sihat.

"Manakala 75.7 peratus pula berasakan masalah keguguran rambut menyebabkan mereka kurang menarik. Namun lebih penting ialah 61.2 peratus individu yang mengalami keguguran rambut berasakan mereka kehilangan peluang mendapat pekerjaan.

"Malah 65.8 peratus berasakan peluang kenaikan pangkat juga terjejas akibat masalah keguguran rambut yang dialami. Dalam persekitaran kerja yang mencabar dan kompetitif, isu ini sangat penting. Justeru, ramai golongan muda mendapatkan rawatan bagi menangani masalah keguguran rambut," katanya.

Selain itu, keyakinan diri juga terjejas. Hampir 58 peratus responden mengakui cuba menyembunyikan masalah mereka daripada diketahui orang lain kerana ia dianggap memalukan.

Ada lebih 46 jenis masalah rambut dan kulit kepala. Malah, masalah keguguran rambut dan botak juga boleh diwarisi. Masalah paling biasa berlaku apabila akar rambut (papila) mula menyusut (atrofi) menyebabkan proses pertumbuhan rambut terbantut dan menjadi lemah. Akhirnya, rambut ini akan gugur sendiri.

banyak punca boleh menyebabkan keguguran rambut, tetapi faktor paling utama ialah tekanan. Kebanyakan penduduk di negara ini disifatkan terlalu kuat bekerja sehingga mengalami banyak tekanan kerja.

"Tekanan yang tidak ditangani dengan baik menjadi permulaan kepada masalah kehilangan rambut. Wanita yang menjadi suri rumah juga tidak terkecuali daripada tekanan. Wanita juga lebih cenderung mengalami masalah keguguran rambut apabila berlaku perubahan hormon, terutama selepas bersalin dan menopaus,