PEDIH ULU HATI

Asid gastrik dalam perut mengalir balik ke dalam esofagus iaitu laluan penghubung mulut dan perut

KETIDAKSELESAAN yang dialami selepas makan seperti pedih ulu hati, sakit dada dan 'panas' pada bahagian atas perut sering dianggap sebagai gangguan biasa yang boleh hilang selepas beberapa ketika.

Jika anda turut mengalami gejala ini, anda sebenarnya mengalami masalah dipanggil gastroesofageal refluks atau asid refluks (GERD).

Penyakit ini berlaku apabila asid gastrik dalam perut mengalir balik ke dalam esofagus (laluan penghubung mulut dan perut).

Aliran songsang asid gastrik ini menyebabkan rasa tidak selesa dan pedih pada bahagian ulu hati. Pesakit GERD berasa lebih 'sengsara' jika mereka juga mengalami keradangan pada esofagus.

Jika keradangan ini terus dibiarkan, ia boleh menyebabkan komplikasi lebih serius seperti esofagus menjadi sempit, ulser, pendarahan dan kerosakan sel yang sering dikaitkan dengan kanser.

GERD boleh dikatakan antara penyakit orang dewasa yang lazim di seluruh dunia. Dianggarkan 20 hingga 40 peratus penduduk dewasa di negara Barat mengalami masalah pedih ulu hati.

Masalah ini didapati juga biasa berlaku pada penduduk Asia sehingga kadangkala menjejaskan rutin harian dan pekerjaan mereka.

Walaupun jumlah pesakit semakin meningkat, masih ramai tidak sedar mereka menghidap penyakit ini, walaupun mengalami gejalanya setiap minggu.

Pesakit di Asia secara umumnya lambat mendapatkan rawatan dan hampir 50 peratus pesakit mengalami gejala GERD sekurang-kurangnya enam bulan sebelum berjumpa doktor.

Kajian dijalankan ke atas pesakit GERD di Asia mendapati, hampir 50 peratus pesakit cuba menangani masalah ini dengan membuat rawatan sendiri tanpa mendapatkan bantuan pakar perubatan.

Soal selidik ini dijalankan ke atas 1,020 pesakit GERD berumur di antara 18 hingga 65 tahun di tujuh negara Asia (China, Hong Kong, Indonesia, Korea, Filipina, Taiwan dan Thailand) iaitu mereka yang mendapatkan rawatan perubahan moden atau mengambil ubat, tetapi tidak merujuk kepada doktor.

Semua responden mengalami sekurang-kurangnya satu daripada empat gejala umum GERD dan menganggap ia sebagai gangguan. Antara gejala GERD ialah:


Kajian berkenaan mendapati, hampir separuh pesakit tidak mengambil ubat yang diberi doktor atau dibeli sendiri di farmasi.

Malah, ramai pesakit percaya boleh bertahan dengan gejala asid refluks, walaupun hakikatnya penyakit itu menjejaskan banyak rutin harian mereka.

Selain itu, gejala yang tidak tetap (datang dan pergi) menyebabkan ramai pesakit sukar mematuhi jadual rawatan.

Hampir 65 peratus pesakit Asia tidak menyedari mereka mengalami masalah asid refluks, termasuk yang berjumpa doktor.

Gejala GERD juga dianggap membebankan kerana hampir 60 peratus pesakit selalu berasa tidak sihat, cuba mengelak makanan atau minuman tertentu, kerap letih dan resah.

Kira-kira 50 peratus pesakit mengalami gangguan GERD sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan. Selain itu, 67 peratus pesakit melaporkan kegiatan harian mereka terganggu akibat masalah tidak boleh tidur pada waktu malam.

Walaupun ada ubat yang berkesan, halangan terbesar dalam pengurusan GERD ialah kurang kesedaran mengenai penyakit.

Pesakit yang menjalankan rawatan sendiri menganggap mereka boleh menangani gejala GERD dan hanya mendapatkan rawatan doktor jika keadaan bertambah buruk, walaupun tahu pakar perubatan mampu memberi ubat yang berkesan.

Lebih malang, ramai pesakit menganggap gejala asid refluks tidak memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mereka, walaupun kajian menunjukkan hampir 45 peratus pesakit boleh mendapat keradangan esofagus.

Banyak kajian menunjukkan lebih 50 peratus pesakit GERD mengalami masalah sukar tidur dan cepat letih keesokannya. Kekurangan tidur dianggap punca utama yang menjejaskan produktiviti kerja dan kualiti kehidupan pesakit.

Yang membimbangkan, GERD juga boleh meningkatkan risiko kanser esofagus peringkat awal jika tidak dirawat. Rawatan ini bukan sekadar perubahan gaya hidup dan pemakanan, tetapi ia juga perlu disertakan pengambilan ubat seperti perencat pam proton (PPI).

PPI seperti esomeprazole digunakan untuk mengurangkan penghasilan asid gastrik dalam perut. Ia menghalang pam asid (dalam lapisan sel dinding perut) menghasilkan asid gastrik.

Kaedah ini secara tidak langsung merendahkan peluang asid ini untuk mengalir songsang ke dalam esofagus, mengawal gejala penyakit dan mengurangkan kekerapan berjumpa doktor