PANAS BARAN MEMUDARATKAN

PANAS baran dan pemarah bukan saja memberi imej negatif kepada seseorang, tetapi juga boleh menjejaskan fungsi paru-paru yang memberi kesan jangka panjang terhadap kualiti kehidupan.

Sikap panas baran atau cepat marah memang sukar dikikis dan biasanya ia menjadi tabiat sepanjang hayat. Dalam kebanyakan kes, lebih tua usia seseorang, makin menjadi-jadi sikap pemarahnya. Pun begitu, ada juga yang berubah menjadi lebih 'lembut' dan sabar, terutama apabila mula mendekatkan diri dengan agama.

Sikap pemarah juga sebenarnya menjadi tembok yang memisahkan hubungan sesama insan, termasuk di kalangan ahli keluarga, rakan dan jiran. Sikap negatif ini turut menjejaskan psikologi ahli keluarga, terutama anak. Malah, tidak mustahil ibu bapa pemarah akan melahirkan anak pemarah.

Jika sifat ini ada pada diri anda, cubalah mengawalnya. Kajian dijalankan Fakulti Perubatan Universiti Harvard mendapati, ia boleh menjejaskan daya ketahanan badan dan merangsang proses keradangan sel.

Bahkan, panas baran juga dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan lain di kalangan orang tua, termasuk pesakit jantung dan asma, kerana perubahan emosi mendadak boleh menyebabkan saluran pernafasan tersekat, yang secara tidak langsung menjejaskan fungsi paru-paru.

Pensyarah di universiti berkenaan, Profesor Madya Rosalind Wright, berkata tekanan psikologi boleh merangsang beberapa gangguan proses biologi badan kerana ketika marah sistem dalam badan menjadi tidak seimbang dan kesannya lebih ketara di kalangan lelaki berusia.

Untuk membuktikan dakwaan ini, satu kajian dilakukan ke atas 670 lelaki berusia antara 45 hingga 86 tahun. Tabiat merokok responden juga dikawal supaya ia tidak mempengaruhi keputusan kajian.

Dalam kajian lapan tahun itu, didapati kemarahan dan sikap panas baran menyebabkan fungsi paru-paru mereka menurun. Bahkan, prestasi paru-paru bagi individu yang sememangnya mempunyai fungsi paru-paru kurang baik ketika kajian dimulakan didapati menjadi lebih buruk. Lebih tinggi 'darjah' panas baran seseorang, lebih buruk fungsi paru-paru mereka.

Sebaliknya, bagi individu yang dapat mengawal kemarahan, didapati fungsi paru-paru mereka bertambah baik. Namun kajian lanjut perlu dijalankan untuk menerangkan jenis faktor atau tekanan psikologi yang boleh menjejaskan fungsi paru-paru.

Pun begitu, kesan negatif kemarahan terhadap paru-paru masih tidak seteruk tindakan asap rokok. Namun kajian juga mendapati individu pemarah dan panas baran lebih cenderung menghisap rokok untuk mengawal ledakan emosi.

Kecenderungan untuk merokok ketika marah juga ditunjukkan oleh wanita. Namun kecenderungan ini lebih tinggi di kalangan lelaki. Kajian mendapati kemarahan lelaki cepat reda dan mereka berasa lebih tenang apabila merokok yang disebabkan kesan metabolik nikotin pada otak.

Namun, ia bukan cara terbaik mengawal kemarahan kerana merokok hanya meningkatkan kesan negatif terhadap paru-paru, termasuk risiko diserang kanser.

Cara lebih baik ialah belajar bertenang dan tarik nafas perlahan-lahan. Ketika marah, otot menjadi tegang dan tertekan. Tekanan ini boleh berkumpul pada leher dan bahu. Tekanan ini akan kekal di situ dalam tempoh panjang, walaupun selepas kemarahan hilang.

Kemarahan juga membuatkan jantung berdegup lebih cepat dan pernafasan menjadi pendek. Sebenarnya pernafasan pantas dan pendek ini boleh merangsang kemarahan anda.

Jadi, apabila anda berasa marah, tarik nafas panjang-panjang dan dalam-dalam. Lakukan teknik pernafasan (menarik nafas sehingga ke dalam perut atau abdomen) selama 15 minit. Secara perlahan-lahan ia meredakan ketegangan otot dan meningkatkan kemasukan oksigen dalam paru-paru.

Udara yang masuk perlu sampai ke perut dulu dan kemudian 'pindahkan' ia perlahan-lahan ke dada sebelum dihembus keluar dalam kiraan lapan. Apabila anda berasa tenang, degupan jantung akan kembali normal.

Apabila sudah tenang, ambil masa memikirkan kembali perkara yang menaikkan kemarahan anda tadi. Buat analisis apakah berbaloi untuk anda marah dan menjejaskan fungsi badan atas perkara kecil atau remeh temeh. Paling penting, jangan biarkan kemarahan dan sikap panas baran menguasai diri kerana ia hanya mempercepatkan proses penuaan.