SAKIT SENDI
APABILA 30 penduduk Kampung Bagan Panchor di Pantai Remis, Perak disahkan dijangkiti virus chikungunya, ramai tertanya, penyakit apakah itu? Rasanya ramai antara kita yang baru pertama kali mendengar nama chikungunya, walaupun ia pernah menjangkiti 27 orang di Pelabuhan Klang pada 1999.

Oleh kerana jumlah kes sangat sedikit, ramai tidak ambil kisah. Apatah lagi Kementerian Kesihatan mengklasifikasikan ia sebagai penyakit jangkitan virus yang tidak berbahaya. Namun, seperkara yang perlu diingat ialah, virus ini dibawa oleh nyamuk aedes - penyebab demam denggi - dan denggi masih menjadi masalah di negara kita.

Chikungunya adalah penyakit jangkitan virus (alfa virus) yang disebarkan nyamuk aedes aegypti. Ia dikatakan penyakit kawasan luar bandar dan kali pertama dikesan Dr David Bylon di Jakarta pada 1799.

Namun, wabak chikungunya dilaporkan berlaku pada abad ke-19 membabitkan negara di Afrika, Arab, India dan Asia yang dipercayai dibawa oleh pedagang.

Jangkitan virus chikungunya ditemui dalam kawasan geografi luas, iaitu dari benua Afrika Barat hingga ke Kepulauan Filipina. Jangkitan ini menjadi wabak di Asia Tenggara pada 1960 terutama di Kemboja, Vietnam Selatan dan Thailand. Wabak sakit yang teruk dilaporkan di Timur dan Selatan Afrika pada 1952.

Chikungunya berasal daripada perkataan Swahili, bermaksud badan membongkok - merujuk kepada perlakuan pesakit yang membongkokkan badan kerana mengalami masalah sakit sendi. Secara klinikal, chikungunya mempunyai beberapa ciri sama dengan demam denggi dan ujian perlu dilakukan bagi mengesah atau membezakan kedua-duanya.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bermula dari 5 Mac 2005 hingga 17 Mac 2006, sebanyak 3,115 kes chikungunya dikesan di Kepulauan La R�union (di Lautan Hindi). Jangkitan di sini dianggarkan melebihi 200,000 kes.

Pada Januari tahun ini, chikungunya dikesan pula di beberapa kepulauan di Lautan Hindi iaitu Mayotte, Mauritius dan Seychelles sebelum merebak ke Eropah iaitu di Perancis, Jerman, Itali, Norway dan Switzerland.

Walaupun ia dikategorikan tidak berbahaya, jangkitan gabungan di antara denggi dan chikungunya boleh menimbulkan pelbagai masalah sampingan dan ia dikesan berlaku di India yang mencatatkan 5,671 kes.

Angka dan perjalanan cerita di atas bukan bertujuan membuat pembaca panik, tetapi sekadar memberitahu penyebaran virus chikungunya boleh berlaku dengan cepat serta membabitkan banyak negara di dunia, termasuk negara kita.

Tanda jangkitan
Menurut Pakar Perunding Kanan Mikrobiologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Datin Dr Che Ilina Che Isahak, seseorang yang mengalami jangkitan virus chikungunya akan mengalami tanda seperti:

Katanya, virus chikungunya disebarkan daripada manusia ke manusia melalui nyamuk aedes yang menghisap darah individu dijangkiti. Sebaik masuk ke badan, virus mengambil masa dua hingga 10 hari untuk membiak sebelum menunjukkan tanda jangkitan seperti di atas.

"Tanda jangkitan biasanya bermula dengan rasa lemah badan, demam mengejut dan sakit sendi. Sendi terasa panas dan bengkak. Selepas demam reda, ruam timbul pada badan, muka, tapak tangan dan kaki. Ada kalanya seseorang pesakit mengalami demam dua kali sebelum badannya menghasilkan antibodi terhadap virus chikungunya.

"Bagaimanapun, bukan semua orang mengalami gejala ini kerana ada jangkitan dikelaskan sebagai asimptomatik (tiada gejala) dan simptomatik (dengan gejala). Justeru, jumlah sebenar kes tidak dapat ditentukan dengan tepat kerana ramai mengalami jangkitan asimptomatik," katanya.

Biasanya, gejala seperti demam akan pulih dalam masa empat hari, tetapi kesakitan sendi mengambil masa lebih lama, sama ada beberapa minggu atau bulan untuk hilang. Secara umumnya ia tidak berbahaya tetapi jangkitan boleh menjadi serius.

Komplikasi
Kata Dr Ilina, jangkitan serius, terutama jika berlaku pada bayi dan kanak-kanak, boleh menyebabkan sawan berlanjutan dan serangan otak (ensefalitis). Namun, serangan sendi pada kanak-kanak dan remaja biasanya lebih ringan dan dapat diatasi dengan cepat berbanding orang dewasa.

Bagaimana serangan virus ini menyebabkan kesakitan pada sendi masih tidak diketahui. Kajian ke atas cecair sendi tidak dapat menerangkan keadaan ini kerana virus tidak ditemui dalam cecair berkenaan.

Apabila dijangkiti, kanak-kanak lebih mudah mendapat demam panas berbanding orang dewasa kerana ada orang dewasa tidak mengalami masalah kesihatan. Namun selepas beberapa hari, demam panas ini kebah dengan cepat.

Masalah ruam pada badan, muka, tangan dan kaki juga boleh berulang. Selain itu, fenomena seperti pendarahan pada gusi, hidung, najis dan muntah boleh muncul, tetapi ia jarang berlaku. Biasanya, gejala hanya terhad kepada petekia iaitu bintik kecil berwarna merah tua disebabkan pendarahan di dalam kulit.

Kajian selama tiga hingga lima tahun ke atas 107 pesakit mendapati, satu pertiga pesakit akan sembuh sepenuhnya dalam beberapa minggu. Satu pertiga lagi sembuh dalam masa setahun, manakala bakinya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk kembali sihat seperti sedia kala.

Pesakit yang sembuh sepenuhnya biasanya muda (kurang daripada 37 tahun). Sembuh di sini bermakna bebas daripada gejala kesakitan dan kekejangan sendi.

Rawatan
Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk chikungunya. Rawatan biasanya hanya membabitkan pemberian ubat anti keradangan untuk meredakan masalah gejala penyakit, terutama bagi mengatasi kesakitan sendi yang menyebabkan pesakit sukar bergerak dan bekerja.

Kesakitan sendi juga boleh diredakan melalui senaman ringan, terutama bagi pesakit yang mengalami masalah kekejangan sendi pada waktu pagi.

pesakit hendaklah banyak berehat bagi mengembalikan kekuatan badan. Dalam tempoh penyembuhan ini, badan akan menghasilkan antibodi terhadap virus chikungunya. Ini bermakna pesakit tidak akan mendapat jangkitan virus sama pada masa depan.