KANSER PANGKAL RAHIM

TUGAS wanita memang banyak, bukan setakat menjadi isteri dan ibu, malah mereka juga tonggak kesihatan keluarga. Walaupun kesedaran terhadap kesihatan makin meningkat, kebanyakan wanita memberi keutamaan kepada suami serta anak dan meletakkan mereka di peringkat kedua.

Amalan ini perlu diubah kerana wanita juga terdedah kepada pelbagai penyakit, terutama kanser payu dara dan pangkal rahim (serviks) iaitu dua kanser paling utama menyerang wanita yang boleh membawa maut.

Rasanya semua orang sudah maklum mengenai kanser ini, tetapi masih ramai penduduk negara ini takut menjalani pemeriksaan kesihatan. Mereka takut jika dikesan menghidap penyakit, sedangkan hakikatnya ia langkah terbaik supaya penyakit seperti kanser dapat dirawat pada peringkat awal.

Kanser pangkal rahim misalnya masih menjadi masalah besar di kalangan wanita negara kita, walaupun kempen ujian pap smear bermula 40 tahun lalu. Dianggarkan 4.2 juta wanita Malaysia berusia di antara 20 hingga 65 tahun tidak pernah menjalani ujian pap smear meskipun ada kira-kira 2,700 hospital dan klinik kerajaan dan swasta di seluruh negara.

Pengarah Eksekutif Persatuan Kanser Kebangsaan, Dr Saunthari Somasundaram, berkata rasa tidak selesa dan malu 'tempat rahsia' mereka dilihat doktor antara faktor menyebabkan ramai wanita tidak menjalani ujian pap smear.

Selain menganggap ia takdir Tuhan, masih ramai percaya kanser tidak boleh dirawat, sedangkan peratus kejayaan rawatan melebihi 90 peratus jika ia dikesan dan diberi rawatan sewajarnya dari peringkat awal.

Kebanyakan wanita sanggup menjalani pemeriksaan payu dara tetapi tidak pap smear. Ramai wanita beranggapan jika mereka masih dara ketika berkahwin dan hanya melakukan hubungan seks dengan suami, mereka tidak perlu menjalani ujian pap smear.

Namun, kata Dr Saunthari, anggapan ini kurang tepat kerana kebanyakan lelaki mempunyai satu atau dua pengalaman seks sebelum berkahwin dan ia membuka peluang mendapat jangkitan HPV. Ini bermakna wanita belum selamat daripada kemungkinan dijangkiti virus berbahaya itu.

Kanser serviks disebabkan jangkitan virus Human Papilloma 16 dan 18 (HPV16 dan 18) tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan kematian. Dianggarkan 650 kematian berlaku setiap hari atau 240,000 kematian setahun di seluruh dunia akibat kanser serviks.

Pada 2002, kira-kira 500,000 kes baru kanser serviks dilaporkan di seluruh dunia yang menyebabkan 275,000 kematian. Lebih 80 peratus daripadanya membabitkan wanita di negara membangun, termasuk negara kita yang mencatatkan lebih 1,400 kes baru setiap tahun.

Pensyarah Jabatan Patologi Universiti Cambridge, Profesor Margaret Stanley, berkata sehingga kini lebih 100 jenis HPV dikenal pasti, tetapi kebanyakannya tidak berbahaya dan hanya 30 jenis boleh menyebabkan jangkitan pada kawasan kemaluan.

Hampir separuh penduduk dunia yang aktif seks mendapat jangkitan ini dalam jangka hayat mereka. Kebanyakan jangkitan HPV boleh hilang dalam masa satu hingga dua tahun melalui tindak balas sistem imun badan tetapi jika ia tidak dapat dihapuskan, virus ini, terutama HPV 16, 18, 31 dan 45, boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser di kawasan kemaluan, termasuk kanser serviks.

Kanser serviks mengambil masa lama untuk terbentuk dan biasanya berlaku pada wanita berumur 40 tahun ke atas. Di United Kingdom yang mempunyai program saringan terbaik di dunia juga mencatatkan 2,000 kes baru setiap tahun. Tidak kira di manapun, kebanyakan kes jangkitan membabitkan wanita berumur di antara 18 hingga 28 tahun.

Katanya, jangkitan HPV juga lazim di rantau Asia Pasifik, dengan sembilan peratus kes jangkitan di Thailand, Vietnam (11 peratus) dan Wilayah Shanxi, China sebanyak 24 peratus.

Namun berbanding kanser serviks, lebih ramai bimbang apabila mendapat kutil genital yang turut disebabkan virus HPV kerana ia boleh dilihat dengan jelas. Bagaimanapun, kebanyakan wanita yang mendapat jangkitan HPV bukan saja berasa malu, tetapi turut mengalami tekanan psikologi.

Ada langkah boleh diambil untuk mengelak jangkitan HPV iaitu penyebab pelbagai penyakit genital, seperti pengambilan vaksin. Vaksin yang diluluskan di lebih 40 negara itu memberi perlindungan kepada jangkitan empat jenis virus iaitu HPV 6, 11, 16 dan 18.

Pengarah Penyelidikan Klinikal Merck & Co, Amerika Syarikat, Dr Carlos Sattler, berkata virus HPV 6 adalah penyebab utama kepada kutil genital (90 peratus kes) di kalangan wanita dan lelaki. Manakala HPV 16 dan 18, selain menyebabkan kanser serviks pada wanita, ia juga mengakibatkan kanser dubur pada lelaki.

Justeru, perlindungan perlu diberikan kepada individu berumur di antara sembilan hingga 26 tahun sebelum mereka mengadakan hubungan seks buat kali pertama.

Malah di sesetengah negara, vaksin disarankan kepada lelaki berumur sembilan hingga 15 tahun kerana mereka biasanya menjadi 'pembawa' virus sebelum disebarkan kepada pasangan masing-masing.

"Wanita berusia juga digalak mendapatkan vaksin ini kerana ia boleh memberi perlindungan jika mereka belum mendapat jangkitan. Tidak perlu melakukan pap smear terlebih dulu jika mahu mengambil vaksin.

"Bahkan wanita yang mempunyai keputusan pap smear tidak normal juga boleh mendapatkan vaksin ini kerana ia turut memberi perlindungan kepada masalah kutil genital," katanya.

Pengambilan vaksin bukan bermakna wanita terlepas daripada keperluan pap smear. Semua wanita masih perlu menjalani ujian pap smear seperti disarankan doktor walaupun mengambil vaksin sebelum mereka mengadakan hubungan seks buat kali pertama. Bagaimanapun, vaksin yang diluluskan Kementerian Kesihatan itu hanya akan ada di pasaran awal tahun