3 Syarat-syarat pengamalan jampi

Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani:

Dan sesungguhnya telah sepakat para ulama' atas kebolehan jampi-jampian, kesepakatan ini adalah berdasarkan 3 syarat:

[1] Bahawasanya ia adalah dengan Kalam Allah Ta'ala atau Nama-nama-Nya dan sifat-sifat-Nya.
[2] Dan (ia adalah) dengan bahasa Arab atau dengan apa dikenali maknanya, jika ia dari selain (bahasa Arab).
[3] Dan bahawasanya ia berkeyakinan bahawa jampi-jampian tersebut, bukanlah ia yang berpengaruh, tetapi yang berpengaruh adalah Allah Ta'ala.[90]


Antara syarat terpenting di sini adalah hendaknya jampi-jampian tersebut di dalam bahasa yang kita fahami. Bahkan tidaklah ia sekadar kefahaman, tetapi adalah juga pengetahuan yang tepat akan segala kaedah-kaedah bahasanya (grammar) supaya dapat dijamin secara pasti bahawa jampi-jampian tersebut adalah bersih dari sebarang unsur-unsur syirik.

Ibn Taimiyah [91] menulis:

Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah mereka membaca mentera-mentera, dan al-Thalasim [92] dan jampi-jampian dengan apa yang di dalamnya terdapat penyembahan dan pengagungan kepada makhluk jin. Dan umumnya apa yang berada di tangan manusia dari mentera-mentera, al-Thalasim dan jampi-jampian, adalah yang tidak difahami dalam bahasa Arab, di dalamnya terdapat apa yang berunsur syirik dengan makhluk jin.

Oleh kerana inilah para ulama' Islam melarang jampi-jampian yang tidak difahami maknanya, kerana diduga kuat ia (mengandungi) unsur syirik, sekalipun jika yang menjampinya tidak mengetahui bahawa ia adalah kemusyrikan.[93]

Justeru diulangi, hendaklah kita waspada dan hati-hati akan kalimah-kalimah yang digunakan sebagai jampi. Kebanyakan penjampi masa kini membaca jampi mereka secara pantas, mereka enggan mendengarkan kepada kita kalimah-kalimah jampi mereka satu persatu. Jampi-jampi tersebut kedengaran seolah-olah dalam bahasa Arab atau seolah-olah seperti ayat al-Qur'an. Ada juga sesetengah penjampi memulai jampi mereka dengan ayat Qur'an yang kita kenali, seperti bacaan Basmalah atau surah al-Fatiha, tetapi kemudian ia diikuti dengan bacaan yang tidak kita kenali lagi. Ini semua tidak cukup untuk dijadikan kepastian bahawa keseluruhan jampi-jampian tersebut adalah bersih dari unsur syirik.

Maka langkah sepatutnya adalah kita meminta dari penjampi tersebut agar dia mendengarkan kepada kita kalimah-kalimah jampinya satu persatu. Jika dia enggan atau kita masih ragu-ragu, tinggalkanlah penjampi tersebut sekalipun nafsu kita berbisik: "Ahh, tak apa agaknya, pasti OK". Kerana hal ini melibatkan antara urusan tauhid dan syirik, syurga dan neraka.

Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:

Tinggalkan apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan (yakni meyakinkan).[94]

Pilihan yang lebih baik, lebih utama, lebih afdal dan yang terpenting - paling selamat - adalah berjampi dengan jampi-jampian yang diajar sendiri oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Jampi-jampian ini berasal daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, menyeluruh maksudnya, padat intinya dan tepat tujuannya. Dan yang paling mudah adalah, ia dapat diamalkan oleh setiap individu tanpa perlu bertandang ke mana-mana penjampi. Jampi-jampi ini banyak disenaraikan dalam buku-buku yang memuatkan doa-doa serta zikir-zikir Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Silalah mendapatkannya.[95]