DIRI kita ialah apa yang kita makan. Sehubungan itu Allah menyeru manusia supaya memakan makanan yang halal lagi baik (Al-Baqarah:168), berhati-hati makan dan minum serta janganlah membazir (Al-A'raf:31).
Kemudian Rasulullah bersabda dalam beberapa hadis :

"Berpuasalah nescaya kamu sihat"

Pepatah ada menyatakan perut itu adalah sumber penyakit dan berpantang itu adalah penawar.

Menurut sumber kajian perubatan, didapati 90 peratus penyakit manusia berpunca daripada pencemaran sistem usus (usus besar dan kecil). Penemuan ini membuktikan kebenaran al-Quran dan hadis Rasulullah bahawa gaya pemakanan memberi kesan besar kepada kesihatan manusia.

Sistem usus memainkan peranan penting dalam menerima, menjana dan menghadam makanan yang dimakan. Tabiat makan yang buruk dan tidak seimbang, menimbulkan kesesakan dalam sistem usus dan sistem badan yang lain.
Proses kerja sistem usus ini samalah dengan sistem perparitan atau sistem pembentungan najis yang terdapat di negara kita. Segala lebihan makanan, makanan yang bertoksik, tercemar dan kotor tersumbat di situ.

Sistem usus ini dari masa ke masa akan membentuk kerak najis, lapisan toksik dan kotoran lain serta melekat di dinding usus. Toksik dan bahan tercemar dalam sistem usus yang gagal dikeluarkan dan dibersihkan akan memasuki dalam sel-sel tubuh, saluran darah dan merebak ke jantung, hati, buah pinggang, paru-paru dan sistem tubuh yang lain.
Sistem usus tidak berfungsi dengan baik dapat dilihat berdasarkan warna najis. Najis yang sihat berwarna kuning seperti najis bayi. Jika najis berwarna hitam atau berwarna coklat maka menandakan sistem usus menghadapi masalah kesihatan.

Kelemahan sistem usus ini boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti buasir, sembelit, gout, kolestrol tinggi, lemah jantung, kegemukan, penyakit berkaitan hati, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, kanser dan sebagainya.
Kempen-kempen yang dibuat oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan telah menyedarkan sebahagian masyarakat supaya meningkatkan kecergasan dan kesihatan diri. Di antara kempen yang sering dijalankan, ialah pilih makanan halal, kurangkan pengambilan garam dan gula, elak makanan berlemak, kurangkan makan daging merah, berhenti merokok, banyakkan makanan yang berserat (sayur dan buah-buahan), kawal berat badan, bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan sebagainya. Semua kempen tersebut berkisar boleh dihasilkan melalui amalan berpuasa yang telah lama disyariatkan Islam.

Pengaruh
Memandangkan besar pengaruh puasa dalam menentukan kesejahteraan manusia, beberapa agama seperti Kristian, Buddha, Hindu, Yahudi dan agama kecil lain menggalakkan penganutnya berpuasa sama ada secara sukarela atau berpantang memakan makanan tertentu.

Dalam rawatan penyakit kronik, pihak hospital dan pusat-pusat perubatan menghendaki pesakitnya berpuasa dalam tempoh tertentu sebelum melakukan rawatan penyakit.
Berdasarkan kebenaran al-Quran, hadis, penemuan kajian perubatan dan diakui oleh agama lain, maka nyata ibadah puasa menjadi alat semula jadi mencegah dan menyembuh penyakit.

Puasa Ramadan bertindak sebagai pembersih sistem usus dan sistem lain dalam tubuh manusia. Proses pembersihan yang memakan masa kira-kira 14 jam sehari itu, dianggap tepat untuk memberi peluang kepada seluruh sistem tubuh manusia kembali ke tahap sebenar melalui:


Berdasarkan kesan besar puasa kepada kesihatan manusia, maka nyatalah puasa merupakan agen semula jadi pencegah penyakit. Bagaimanapun bagi mereka yang sedang menghadapi penyakit kronik, mereka perlu mendapat nasihat pegawai perubatan sebelum memulakan ibadah puasa.

Mematuhi
Menurut Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, bagi mencapai keberkesanan puasa, kita perlu mematuhi adab makan, iaitu segera berbuka puasa kerana sistem badan memerlukan makanan pada waktu yang ditetapkan berbuka itu, mulakan membaca 'bismillah' dan berdoa, makan makanan yang halal, memulakan makan dengan buah-buahan dan berhenti makan sebelum kenyang, minum air tidak terlalu banyak ketika makan, jangan minum air dalam gelas sekali gus, minumlah seteguk demi seteguk, jangan bernafas atau bersendawa ketika minum kerana dikhuatiri bakteria masuk dalam minuman dan jangan minum ketika berdiri.

Puasa memberi nikmat besar kepada badan dan rohani manusia. Bagi menjamin kesinambungan nikmat besar itu, maka kita boleh susuli pula dengan puasa-puasa sunat mengikut kemampuan.