"Sesungguhnya diharamkan kepada kamu bangkai dan darah dan daging babi
dan apa-apa yang disembelih untuk yang lain daripada Allah. Tetapi sesiapa yang
terpaksa tanpa ada kecenderungan dan tanpa melampui batas, maka tidak ada dosa
keatasnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "
(Al Baqarah: 173)


Perkara penting yang dapat kita kutip daripada ayat ini ialah, benda-benda yang diharamkan ini diharuskan pada ketika terpaksa. Itupun tanpa melampui batas.
Daripada ini lahirlah dua kaedah syari'yah yang penting untuk kegunaan umat di dalam kehidupan mereka.
Kaedah pertama ialah:
"Kecemasan (dharurat) mengharuskan yang haram."
Akan tetapi pengambilan benda-benda yang haram dimasa dharurat dibatasi dengan kaedah yang kedua, iaitu:-
"Dharurat diambil sekadar keperluan sahaja."
Menggunakan benda yang haram melebihi kadar keperluan dimasa dharurat adalah berdosa. Begitulah juga di dalam perubatan Islam, pada ketika-ketika dharurat dan kecemasan boleh digunakan benda-benda dan cara-cara yang haram sekadar keperluan. Ini telah berlaku di zaman Ar-Rasul.